Muhammad Hanif Jamaluddin. Powered by Blogger.

Thursday 13 December 2012

Psikologi Dalam Perspektif Islam (1)



1.      Pendahuluan

            Psyche bererti jiwa dan logos bererti kajian tentang sesuatu. Jadi Psikologi adalah satu kajian mengenai tingkah laku manusia yang dibuat secara sistematik dan saintifik. Ia satu disiplin ilmu yang yang mengkaji secara saintifik tingkah laku manusia atau haiwan, khasnya pemikiran, sikap, perasaan, naluri, potensi, kecerdasan, keperluan dan tindak balas manusia terhadap rangsangan persekitaran sosial.

            Menurut Baller dan Charles (1968) dalam The Psychology of Human Growth and Development psikologi mengkaji tingkah laku manusia dengan menggunakan data dan prinsip yang telah dihimpunkan dengan teliti.

             Davidoff (1976) mengjelaskan bahawa psikologi adalah kajian saintifik tentang tingkah laku manusia atau haiwan secara nyata atau selindung. Kajian secara nyata (overt) merujuk kepada kajian tentang tingkah laku yang dapat diperhati, dinilai atau diukur. Contohnya mengapa kanak-kanak menghisap jari, bagaimana mereka belajar berjalan, bercakap atau berlari. Kajian selindung (covert) adalah kajian tentang keperluan, emosi, naluri, motivasi, kecerdasan dan sebagainya. Menurut Fantino (1974) psikologi adalah kajian saintifik tentang aktiviti mental seperti ingatan, mimpi, pemikiran kebimbangan dan tekanan.
              Tidak dapat dinafikan psikologi merupakan salah satu cabang ilmu yang amat berguna dalam kehidupan manusia. Bahkan dalam era globalisasi yang memungkinkan pertembungan budaya Timur dan Barat serta pemusatan matlamat pada kehidupan dunia, pengetahuan mengenai kemanusiaan menjadi satu keperluan yang mendesak. Bijak pandai di Jepun telah melaburkan sekian banyak modal terhadap pembangunan insan bagi memastikan teknologi yang dicipta tidak disalahgunakan akibat tangan manusia sendiri.

               Di mana-mana sahaja, manusia adalah tumpuan utama dalam pembinaan tamadun. Kejayaan keluarga, masyarakat, organisasi dan negara asasnya bergantung kepada manusia dan bukannya teknologi atau faktor-faktor lain. Justeru, memahami manusia menjadi satu tuntutan. Islam juga tidak ketinggalan menekankan pembangunan manusia sebelum sebuah tamadun dapat dibangunkan. Nabi S.A.W. mengambil masa 13 tahun di Kota Makkah mengukuhkan fitrah yang ada dalam diri manusia sebelum berhijrah membangunkan negara dan syariat.

Firman Allah S.W.T. dalam Al-Quran yang amat rapat dengan ilmu psikologi adalah agar manusia mengubah apa yang ada dalam dirinya (hati atau jiwa) sebelum Allah mengubah nasibnya :
“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” Ar-Ra’du 11

           Melalui ayat ini, kita faham bahawa perubahan adalah satu proses inside-out, iaitu dari faktor dalaman (jiwa, nilai, persepsi), kemudian barulah faktor luaran (persekitaran, pendidikan dan sebagainya). Malangnya, sejak sekian lama ilmu psikologi dibayangi oleh teori-teori Barat yang lebih mengutamakan aspek seperti biologi dan sosial serta mengabaikan perihal jiwa.

              Bagaimanakah kaedah untuk membenteras penagihan dadah, seks bebas, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan 1001 masalah sosial adalah tanggungjawab ahli psikologi muslim. Melihat ke hadapan pula, bagaimana untuk membangun pekerja cemerlang, ibubapa cemerlang, pemimpin yang cemerlang, pelajar yang cemerlang dan 1001 keperluan insani juga adalah tanggungjawab ahli psikologi Muslim. Melalui kajian yang bersumberkan Al-Quran dan Hadith, rahsia kecemerlangan insan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. lebih 1400 tahun dahulu pasti dapat dirungkai dalam bentuk dan kaedah yang sesuai dengan perubahan zaman.


Terima Kasih Membaca.. Doakan Fateh Al-Muhammadi Jadi Hamba yg Beriman, Umat yg Berjuang, Anak yg Soleh :)

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP